JPKK BUKIT IBAM,26670,MUKIM KERATONG,DAERAH K.ROMPIN,PAHANG DARULMAKMUR

Kemerdekaan Malaysia kali 67-Malaysia Madani-Tekad Perpaduan Penuhi Harapan

Rabu, 30 Januari 2019

Permashyuran KDYMM Tengku Ampuan Pahang Dan KDYTM Tengku Mahkota Pahang 2019

PEKAN. 29 Januari 2019 Bersamaan 22 Jamadil Awal 1440H – Istiadat Pelantikan dan Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj,
dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah serta Menjunjung Duli Tengku Mahkota berlangsung, selamat dan sempurna di Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan, hari ini.

Aturcara bermula pada jam 10.30 pagi itu dimulai dengan kehadiran dif dif jemputan kalangan Orang Orang Besar, Kerabat Kerabat serta kenamaan mengambil tempat di Balairung Seri.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohammed, tiba kira-kira jam 10.35 pagi diikuti bekas Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pekan, Yang Di-Hormati Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak yang merupakan Orang Besar Berempat dengan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar, bersama isteri, Toh Puan Indera, Datin Sri Rosmah Mansor.
Istiadat dimulai jam 11 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Riayatullah Almustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah bersama isteri, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah ke istana, diiringi Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri, Yang Berbahagia Cik Puan Muda Pahang, Julita Aisyah dan Yang Amat Mulia Tengku Ariff Temenggong, Tengku Fahd Mu’adzam Shah.
Pada yang sama, Tengku Mahkota Pahang turut menghadap paduka ayahanda bonda pada Istiadat menjunjung duli yang disaksikan lebih 700 orang tetamu.
Tengku Hassanal kemudian dikurniakan Darjah Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (D.K.) (I)
yang disempurnakan oleh paduka ayahanda baginda.
Tengku Mahkota Pahang juga dimasyurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bagi mengantikan paduka ayahanda yang akan mengalas tugas Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI.
Dalam pada itu, ketika menyempurnakan titah diraja, Al-Sultan Abdullah turut berpesan kepada Tunku Azizah supaya baginda terus berbakti serta menerangi dan menyinari rakyat jelata di setiap pelusuk negeri seperti permata indah yang laksana bidadari di dunia dan permaisuri di Jannah.
Titah baginda, Tengku Hassanal akan memikul tanggungjawab untuk memelihara serta mempertahankan legasi kesultanan Melayu Pahang yang merupakan waris ganti kepada baginda (paduka Ayahanda).
” Oleh yang demikian, ambilah pengajaran daripada pepatah Melayu lama yang berbunyi umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul juga.
“Jika paduka anakanda berbuat baik, paduka anakanda akan tetap dimuliakan walau di mana-mana sekalipun.
“Perlu diingat bahawa setiap sesuatu kurniaan di muka bumi Allah datang bersama-sama tugas dan amanah yang wajib dijunjung.
“Oleh itu laksanakan tugas dan amanah tersebut dengan penuh ketakwaan, jangan sekali-kali juga paduka anakanda bersikap riak dan angkuh. Ambil resam padi makin berisi makin menunduk,”titah Al-Sultan Andullah.
Titah baginda lagi, pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang bukan sekadar simbolik malah melengkapkan kedudukan raja pemerintah yang menjadi punca bagi segala kuasa di negeri ini.
Sementara itu, baginda dalam titah menyatakan bahawa Pahang sentiasa menjadi keutamaan baginda dan akan pulang menjalankan tugas sebagai sultan yang diamanahkan.
“Walaupun selepas ini saya akan berada jauh dari mata…tak jauh pun, namun Pahang akan tetap dekat di hati saya.
“Insyallah saya akan sentiasa kembali jika berkesempatan bagi membolehkan ikatan keakraban dan kasih saya kepada rakyat jelata akan terus terjalin,” titah baginda.
Al Sultan Abdullah bertitah, baginda merasakan masa terlalu pantas dan tidak berkesempatan untuk menziarahi setiap pelusuk negeri untuk bersama-sama dengan rakyat yang tidak putus merakamkan ucapan tahniah dan doa sebelum memulakan tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.
“Berkat ketentuan dari Allah serta perkenan daripada Duli-Duli yang Mulia Raja-Raja Melayu, saya akan berangkat meninggalkan negeri yang saya sayangi untuk menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16 pada 31 Januari (Khamis) ini.
“Izinkan saya mengambil kesempatan bagi merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, kerajaan Negeri Pahang dan seluruh rakyat jelata di atas kesetiaan serta doa kepada saya selama ini.





Tiada ulasan: